Wednesday, July 9, 2008

.: solat subuh :.


Solat Subuh!

Kayu pengukur salehnya seorang manusia dalam menjalankan ajaran agama ialah solat Subuh secara berjemaah. Sebab, solat Subuh waktunya tepat pada masa rehat setelah berjaga malam.
Jikalau saudara ingin tahu soleh tidaknya seseorang, perhatikanlah bagaimana solat Subuhnya. Apa yang kita perhatikan, memang ramai orang meninggalkan solat Subuh. Mereka tidak mengambil berat tentangnya dan tidak pula rasa bersalah di atas apa yang mereka lakukan, sebab hati mereka sudah mati.
Mendakwa diri sebagai orang yang beragama dan bertaqwa memang mudah. Namun demikian, ukuran sebenar bukanlah pengakuan mulut, sebaliknya membuktikan dengan amalan. Apabila saudara melihat seseorang mengerjakan solat lima waktu secara berjemaah, berhati-hati dalam berbicara, takut kepada Tuhannya dan menyesal di atas dosa kesilapannya, inilah dia orangnya yang diharap dan dijanjikan mendapat balasan yang baik.
Orang yang meninggalkan solat, kagum dengan diri sendiri dan tidak mahu mengakui kesilapan, adalah orang yang tidak boleh diterima pengakuannya bahawa dia adalah orang beragama dan bertaqwa. Dia termasuk dalam golongan orang-orang yang sangat rugi. Kita selalu melihat orang yang nampak seperti beragama dan baik, tetapi apabila masuk waktu Subuh, syaitan dan hawa nafsu menguasai diri, sehingga tidak hadir solat berjemaah. Dia bukanlah orang yang benar-benar beragama, dan kepercayaan saudara-saudaranya yang beriman pun luntur.
Usah memuji dan usah menyucikan sesiapapun. Amalan dan akhlaknya sendirilah yang akan memuji dan menyucikannya. Kita sudah jemu memuji mereka yang selalu mengaku bahawa mereka mengamalkan ajaran Islam, tetapi dalam bab sembahyang berjemaah, berkata benar, menepati janji dan menunaikan kewajipan, mereka gagal merealisasikannya.
(Amat besar kebenciannya di sisi Allah apabila kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.)Al-Saf : 3 Petikan Daripada: Hakaza Haddathana al-Zaman (Beginilah Zaman Mengajar Kita) Oleh Dr. 'Aid Abdullah al-Qarni)

No comments: