Saturday, November 19, 2011

Dr. Maza - La Tahzan - Jangan bersedih! Sesungguhnya Allah bersama kita!


Apabila kita asyik duduk termenung memikirkan nasib diri di sini...
Merenung jauh mereka di sana hidup penuh keseronokan dan kegembiraan...
Namun, kita masih tak sedar tentang hakikat erti kebahagian yang sebenar-benarnya...

Ramai orang tersalah sangka tentang maksud ketenangan dalam hidup. Selalu orang mengaitkan ketenangan itu dengan faktor harta, kekayaan. Walaupun itu boleh menjadi penyumbang, tetapi itu bukan segala-galanya. Betapa ramai orang yang berada dalam rumah yang besar, tidur di atas katil yang empuk, tetapi dia tidak lebih enak atau pun lenanya tidak nyenyak. Bahkan ada orang yang tidur di pondok yang buruk, kadang-kadang dia lebih lena daripada kita. Ada orang yang berada di hadapannya hidangan yang hebat, lauk pauk yang bagus. Tetapi lidahnya tidak enak. Lebih enak lagi orang yang makan kadang-kadang dengan satu dua mata lauk, tetapi dia lebih sedap dan selesa makannya.

Kata Hamka, "lihatlah bagaimana Allah membahagi-bahagikan nikmatNya". Semua orang sangka, orang tu ada rumah besar, makanan yang sedap, tentulah hidupnya bahagia dan tenang. Belum tentu..

Tiada siapa mampu menghalang ketetapan Allah SWT..

Jika Allah hendak memberikan kebahagian kepada seseorang, dia tidak boleh ditahan oleh apa-apa tangan sekalipun. Jika Allah menghalang kebahagian kepada seseorang, dia tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan pun. Jika Allah uruskan urusan kita, dan Allah tidak serahkan diri kita kepada kita. Walaupun sekelip mata, dunia boleh berbuat apa-apa, tetapi mereka tidak boleh mencabar Allah.

Jika Allah mengatur untuk kita apa yang orang sangka tewas, kita akan melihat kemenangan dari sisi Allah. Apa yang orang rasa rugi, Allah akan berikan keuntungan yang mana jalan-jalan manusia tak sangka, tetapi Allah boleh mewujudkan keajaiban dalam kehidupan. 

Apabila kita asyik mengeluh setiap kali ditimpa musibah..

Tuan-tuan tengoklah dunia ni. Kadang-kadang tuan-tuan, manusia dia hilang suatu benda ini daripada dunia, kadang-kadang macam dia hilang segalanya. Saya nak sebut tuan-tuan, berapa banyak dalam hidup tuan-tuan telah melalui keperitan hidup? Cuba ingat!
Ketika kita kena keperitan, kita rasa kita tak dapat keluar daripadanya. Tapi hari ini Allah telah keluarkan kita berada dalam keadaan yang baik. 
Ketika kita ditimpa musibah tertentu, kita kata, " habislah aku kali ni".
tapi usia kita telah berjalan, kita masih lagi hidup dan makan dan menikmati kurniaan Allah.
Ketika kita kata, "Ya Allah tolonglah aku, ya Allah tolonglah aku, aku susah ya Allah",
Hari ini kita pun telah lupa akan perkataan itu.
Dan kita pun lupa kadang-kadang untuk bersyukur di atas pelbagai ranjau hidup yang telah Allah keluarkan kita daripadanya. 

Surah Al-Imran [3]: 173

Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami). 

Orang-orang yang diberitahu kepada mereka, "Nun orang ramai sedang berkumpul untuk ambil tindakan kepada kau", "Nun orang nak ambil tindakan kepada hang". Kata Allah, "iman dia akan bertambah".
 Bukan kita kata, "Pasal apalah Allah benci aku? Apa lah dosa aku?" Tidak-tidak!
Kata Quran, "iman mereka bertambah".
Mereka kata, "Cukuplah bagi kami Allah, dialah sebaik-baik tempat diserahkan urusan".

Pengalaman sering mematangkan kita..

Siapa yang tidak melaluinya tidak akan memahami maksudnya. Orang-orang yang pernah hidup dan bertawakal, dia akan mengetahui tentang keajaiban bertawakal.
Bila hati insan bulat kepada ya rabbi..
"Ya Allah, aku serahkan urusan ini kepada Mu ya Allah"

Kita sering lupa kita masih punya kehidupan di akhirat...

Apabila insan melihat dunia daripada dimensi akhirat, dia akan merasakan dunia ini sangat kecil, kehidupan ini sangat luas.
Nabi sebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim..
Allah bawa pada hari akhirat, manusia yang paling derita dalam hidup ini. Allah ambil dia, Allah masukkan dia ke dalam syurga. Dia dimasukkan dicelupkan masuk ke dalam syurga, kemudian dia dikeluarkan. Lalu ditanyaNya, "Wahai fulan, adakah kau pernah rasa derita dalam hidup?"
dia kata, "Tak! Aku tak pernah derita pun dalam hidup ini".
Hanya kerana masuk sekelip mata di dalam syurga, lupa cerita derita. 
Allah ambil manusia yang paling nikmat dalam dunia ini, segala yang nikmat Allah masukkan dia secelup sahaja ke dalam neraka, lalu dikeluarkan.
"Pernahkah kau merasai nikmat dalam hidup ini?"
dia kata, "Tak! Aku tak pernah ada nikmat pun dalam hidup ini".
Hanya kerana satu celupan sahaja ke dalam neraka, lupa cerita nikmat. 

Masihkah kita teringat akan nikmat yang Allah berikan selama ini?

Kita selalu nak bersyukur kalau kita diberi benda baru. Dan kita lupa bahawasanya apa yang ada pada kita ini pun suatu nikmat yang besar. 
Satu hamba Allah, yang patah kakinya. Yang dia tidak pernah pun sebut, dulu barangkali tak pernah teringat tentang nikmat kaki yang setiap hari dia pijak. Tapi apabila satu hari dia sakit kaki..
Dia kata, " Ya Allah bagilah balik kaki aku, sembuhkanlah balik".
Dia tahu besarnya nikmat kaki, nikmat tangan, nikmat sihat.

Kata Hamka, "Yang ada ini sudah harapan kita".
Tetapi insan, bukan salah untuk kita mengharapkan yang belum ada, tetapi jangan lupa yang telah ada!

Bersyukurlah wahai diri ini...

Sebab itu sebahagian sarjana menyebut,
"syukur kadang kala lebih tinggi makamnya daripada sabar"
Ramai orang terpaksa sabar, tetapi belum tentu orang yang ada nikmat itu bersyukur.
Bila dia susah, nak kata apa?
"Sabar je la, nak buat apa"
Tetapi untuk menjadikan orang yang memiliki harta seperti tuan-tuan, syukur di atas nikmat...

"Ya Allah, apa sahaja yang aku alami daripada nikmatMu, daripada kurniaan sesiapa di kalangan hambaMu, tidak ada daripada sesiapa melainkan daripada Engkau wahai Tuhan. Bagi Engkaulah pujian, bagi Engkaulah kesyukuran". 

Subhanallah..
Insan jika dia nak bersyukur kepada Allah, tak terdaya

Surah Ibrahim [14] : 34
"Jika kamu nak menghitung nikmat Allah, kamu tak mampu".

Bila kita melihat hidup ini secara keseluruhan, kita akan rasa hidup ini, apa yang Allah kurniakan kepada kita lebih daripada harapan kita sebenarnya. Kalau kita ingat daripada hari kita dilahirkan, tempat kita dilahirkan, rumah kita dilahirkan, sehingga tempat kita ada pada hari ini. Masyaallah! 
Tak dapat nak diucapkan berapa kali nak sebut pun tak mampu..

Surah At-Taubah [9]: 40
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Nabi berkata kepada sahabatnya," Jangan bersedih, Sesungguhnya Allah bersama kita".


Petikan daripada 
Ceramah 'Mencari Sakinah'
Dr. Mohd Asri Zainal Abidin -

No comments: